TANJUNG MALIM: Tiga ahli Dewan Muslimat Pas yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Muktamar Tahunan ke-69 parti itu di Shah Alam, meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas enam kenderaan di Kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Tanjung Malim, pada Jumaat.

Mangsa dikenali sebagai Fatihah Nabila Bukri, 23, yang merupakan Ketua Unit Khas Wanita Muda Pas Sungai Petani; Ketua Muslimah Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dan Penolong Setiausaha 1 Pas Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27.

Fatihan Nabila dan Taibah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Nurul Najihah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Slim River.

Ketua Polis Daerah Muallim, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir dalam satu kenyataan berkata, kira-kira jam 2.30 petang, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan maut yang melibatkan enam buah kenderaan, termasuk dua motosikal.

Katanya, siasatan yang dijalankan dilokasi mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah, telah hilang kawalan lalu berpusing dan terbalik di dalam longkang kiri jalan.

Menurutnya, dua buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Honda EX5 serta kereta jenis Perodua Myvi dan Toyota Fortuner telah berhenti di lorong kecemasan untuk memberikan bantuan.

Kira-kira lima minit kemudian, sebuah kereta jenis Toyota Altis yang datang dari arah sama di lorong kanan telah hilang kawalan lalu terlanggar ketiga-tiga mangsa serta dua penunggang motosikal dan pemandu Perodua Myvi.

Mohd Hasni berkata, mangsa yang lain hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia baru sahaja menghadiri Muktamar Tahunan Pas ke-69 di Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, punca kemalangan disebabkan kereta Toyota Altis terbabas dan terlanggar mangsa dan kenderaan di lorong kecemasan.